Pas menyokong penuh saranan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria untuk meletakkan Mahkamah Syariah sama taraf dengan Mahkamah Sivil.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sekiranya saranan itu dilaksanakan, ia akan memperkukuh serta menegakkan lagi syariat Islam sekaligus memberi keadilan kepada semua rakyat Malaysia.

"Kita perlu kembali kepada pemerintahan Islam seperti yang terdahulu, meninggikan hukum syariat adalah menegakkan adil kepada semua, sebab itu tidak perlu bimbang kerana ia tidak akan diskriminasi kaum lain.

"Perkara itu perlu dilaksana dan ditimbangkan oleh pihak berkuasa, apatah lagi kita telah menerima konsep asas perlembagaan kita Islam agama Persekutuan dan pada masa sama kebebasan agama lain di jamin," katanya kepada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Wisma Purnama Pas Kawasan Gopeng, di sini, pada Sabtu.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Harussani yang menyarankan kerajaan negeri membuat pindaan dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Mufti Perak itu berkata, langkah ini akan membolehkan Mahkamah Syariah diangkat setaraf dengan Mahkamah Sivil.

Beliau juga berpendapat Mahkamah Syariah tidak sepatutnya dianggap sebagai satu entiti yang berada di luar institusi kehakiman sekaligus meletakkannya pada kedudukan yang lebih rendah.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan daripada keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes penukaran agama tiga anak seorang guru tadika, M Indira Gandhi.

BACA: Penghakiman bersejarah: Persetujuan kedua ibu bapa perlu bagi penukaran agama anak kepada Islam

BACA: Kes Indira Gandhi: Hormati keputusan Mahkamah Persekutuan - PM Najib