Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan bahawa PAS sedang menyediakan calon simpanan menjelang penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu ini.
Jelasnya, menerusi kenyataan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikeluarkan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan, PAS hanya akan menyokong calon Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak nampak ia (calon simpanan) akan berlaku. Ini kerana Presiden PAS melalui Setiausaha Agungnya dalam satu kenyataan menyatakan sokongan terhadap calon BN.
“Malah mereka turut menyatakan akan bekerja untuk menangkan BN,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen pada Khamis.
Terdahulu, PAS dilaporkan diarah menyediakan calon simpanan menjelang penamaan calon Sabtu ini. Ia dikatakan sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku perkara di luar jangkaan termasuk pembatalan calon pada saat akhir atas sebab teknikal.
Pada masa sama, Zahid yang juga Pengerusi BN turut menjelaskan persetujuan untuk meletakkan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai calon adalah berdasarkan semangat kemuafakatan dalam kalangan parti komponen BN.
“Biarpun sentimen terlalu kuat untuk meletakkan calon UMNO mewakili BN, tetapi hakikat yang perlu diterima adalah semangat kemuafakatan di kalangan parti komponen BN.
“Ia haruslah diberikan keutamaan atas rasa kebersamaan maka semua jentera BN dari semua parti telah bersetuju untuk berikan sokongan sepenuhnya kepada Wee Jeck Seng,” jelasnya.
Pada Rabu, Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng diumumkan sebagai calon BN untuk PRK Tanjung Piai.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad di Bilik Gerakan Utama BN, di Pontian.