Pas mengucapkan tahniah atas pelantikan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, tanggungjawab yang dipikul oleh Mohamad Sabu atau Mat Sabu itu sangat besar kerana ia melibatkan pertahanan negara.


"Saya ucapkan tahniah kepada beliau (Mat Sabu) atas pelantikan tersebut. Mudah-mudahan beliau mampu melaksanakan tanggungjawab yang amat berat ini mempertahankan negara.

"Selama ini beliau sebut dalam ceramah sebagai kekuatan tentera dan polis bukan untuk pertahankan parti politik sebaliknya untuk mempertahankan negara kita sebagai rakyat akan nilai sejauh mana Mat Sabu menggunakan aset negara untuk mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran Kemenangan Pas di Parlimen Kubang Kerian di sini hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim, rakyat akan menilai sejauh mana pendekatan yang dilakukan Mat Sabu dalam meningkatkan pertahanan negara daripada sebarang ancaman luar.