Polis menahan sepasang suami isteri bergelar Tan Sri dan Puan Sri yang dipercayai melayan orang gaji dengan cara kekerasan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof tangkapan dibuat pada 8 pagi, pada Rabu.

“Pasangan itu telah dibawa ke Mahkamah Kajang untuk mendapatkan permohonan reman dan mahkamah telah membenarkan satu hari untuk direman sehingga lima petang Rabu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kes ini diseru untuk menyalurkan maklumat dan boleh berhubung terus kepada Pegawai Penyiasat Kes iaitu ASP Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Pada 29 Mac lalu, tiga wanita Indonesia yang bekerja sebagai amah kepada pasangan itu di sebuah banglo mewah di Country Heights di Kajang, mendakwa didera majikan mereka.

Mereka mendakwa ditumbuk, ditampar dan tidak dibayar gaji sebelum bertindak memanjat pagar banglo untuk melarikan diri.

Tindakan tiga wanita itu disedari seorang lelaki yang kebetulan melalui jalan berkenaan sebelum membawa mereka ke Kedutaan Besar Republik Indonesia.

Mereka kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Kajang untuk pemeriksaan doktor bagaimanapun hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati ketiga-tiganya tiada kecederaan fizikal, mental atau seksual.