Berkenalan ketika program pemulihan dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak menginsafkan sepasang kekasih, sebaliknya mereka ditahan selepas didapati positif dadah dalam Ops Perdana yang diadakan di sekitar kawasan Kampung Gajah dan Bota di sini, semalam.

Pasangan berusia 47 dan 41 tahun itu antara 19 individu yang ditahan berumur antara 19 dan 50 tahun selepas didapati positif pelbagai jenis dadah setakat ini, dalam operasi yang diadakan bermula 9.30 pagi semalam hingga 2 pagi esok.

Pengarah AADK Perak, Khairul Anwar Ahmad berkata, pasangan kekasih yang berstatus janda dan duda itu masing-masing mempunyai dua orang anak ditahan pada pukul 10 pagi semalam, di kebun sawit di Changkat Lada yang merupakan milik keluarga wanita berkenaan.

Katanya, lelaki tersebut yang berasal dari Kuala Lumpur sanggup bertemu kekasihnya di Changkat Lada yang telah menyediakan dadah untuk kegunaan mereka berdua.

"Kedua-dua pasangan itu merupakan Orang Kena Pengawasan (OKP) yang mana lelaki tersebut di bawah pengawasan AADK Dang Wangi manakala wanita tersebut di bawah pengawasan AADK Perak Tengah.

"Mereka sudah lama menjadi pasangan kekasih dan ini bukan pertama kali lelaki yang juga seorang penganggur itu datang ke kebun sawit wanita berkenaan untuk menagih dadah," katanya pada sidang media di Pejabat AADK Perak Tengah di sini hari ini.

Khairul Anwar berkata, hasil saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine manakala wanita berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine dan Morfin.

Katanya, kedua-dua individu berkenaan terlibat dalam penyalahgunaan dadah seawal umur 10 tahun lagi dan mereka kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983.

Beliau berkata, 17 penagih yang lain turut ditahan di bawah Seksyen 3(1) APD 1983 dan Seksyen 6(3) akta yang sama. - BERNAMA