Polis menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Bruseh, Bidor dekat sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata hasil maklumat awam dan risikan, polis menahan kesemua suspek yang berusia antara 24 dan 29 tahun kira-kira pukul 10.45 pagi.

Beliau memberitahu sidang media di sini pada Isnin, semasa serbuan dilakukan, seorang daripada suspek bertindak mencampak sebuah beg plastik dari tingkap bilik hotel tersebut.

"Hasil pemeriksaan menemukan lima paket plastik lutsinar mengandungi dadah dipercayai heroin dengan anggaran berat 626.19 gram dan 16 paket lutsinar dipercayai dadah jenis methamphetamine seberat 70 gram yang kesemuanya bernilai RM20,000 serta wang tunai berjumlah RM270," katanya.

Menurutnya hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek (dua lelaki, seorang wanita) positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan samun.

Som Sak berkata dadah yang dirampas itu dipercayai diedar kepada kira-kira 3,350 penagih sekitar daerah Muallim dan Hilir Perak.

Katanya kesemua suspek yang merupakan penganggur kini direman selama tujuh hari bermula Jumaat lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, polis menahan empat lelaki yang baru dua jam keluar dari Penjara Tapah kerana terbabit dengan satu kes samun di Pejabat MCA Bahagian Tapah di sini pada 2 Mac lalu.

Som Sak berkata dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 62 tahun yang merupakan setiausaha pejabat berkenaan telah disamun oleh lima lelaki tanpa menggunakan sebarang senjata.

"Mangsa yang ketika itu berseorangan dalam pejabat diikat di tangan dan kaki dengan wayar komputer dan mangsa dibiarkan terbaring di atas lantai setelah disamun oleh kesemua suspek tersebut.

-- LAGI

POLIS-DADAH 3 (AKHIR) TAPAH

"Suspek berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM2,000, sebuah telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Proton Persona yang diletakkan di tempat letak kereta berhampiran pejabat berkenaan," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditahan dalam serbuan yang berasingan di rumah mereka di sekitar bandaraya Ipoh pada 8 dan 10 Mac lepas.

Menurut beliau, kesemua suspek merupakan antara 40 banduan yang baru dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah dan dihantar ke stesen bas di sini pada pukul 11 pagi untuk dihantar pulang ke rumah masing-masing.

"Polis masih mengesan seorang suspek K.Baskaran, 51, beralamat di Kampung Kacang Putih, Ipoh yang masih bebas bagi membantu siasatan, " katanya.

Som Sak kesemua suspek kini ditahan reman selama 14 hari masing-masing dari tarikh ditangkap bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

-- BERNAMA