Kelicikan sepasang kekasih mengedar dadah akhirnya terbongkar apabila mereka ditahan bersama dadah dianggarkan bernilai RM750,000 dalam serbuan di Kondominium Pink Tower, Penampang, semalam.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi Rabu, suspek lelaki berusia 30 tahun berasal dari Sarawak itu dan teman wanitanya warga China berusia 23 tahun ditahan di rumah mereka oleh sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata penangkapan suspek dibuat selepas pihak polis menahan sebuah kereta jenis Ford Fortuner berwarna putih yang diletakkan di Kondominium Hing, Penampang.

"Pemeriksaan lanjut, pihaknya menemui empat paket plastik lutsinar yang disyaki dadah methamphetamine. Barang-barang tersebut dirampas dan suspek telah ditangkap," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Sabah (IPK) di sini, hari ini.

Menurut Ramli, hasil daripada soal siasat suspek, pada hari yang sama, lelaki itu telah membawa pasukan polis JSJN ke rumahnya yang beralamat di Kondominum Hing Tower, Penampang.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut telah menemui bungkusan plastik hitam yang mengandungi lima paket plastik berwarna perak disyaki Methamphetamine dengan anggaran kasar 9.1 kilogram dan seorang wanita," katanya.

Tambah Ramli, turut ditemui ialah bagasi berwarna merah jambu yang mengandungi 105 paket plastik lut sinar pelbagai saiz dadah yang disyaki jenis dadah sama dengan berat 1.2 kilogram serta 188 biji pil ekstasi serta dua paket plastik lut sinar yang berisi dadah disyaki jenis ketamine.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Merbahaya.