Taktik pasangan kekasih yang menjual campuran dadah dalam botol minuman jenama terkenal berjaya dibongkar di Pandan Perdana di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata lelaki tempatan dan wanita warga Thailand kedua-duanya berumur 30-an itu dipercayai mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lepas.

Mereka ditahan pada kira-kira 6.20 petang Selasa lalu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

"Mereka menjual dadah yang dicampur dengan air minuman di dalam botol bagi mengaburi pihak berkuasa. Sebotol cecair campuran dadah itu dijual dengan harga RM180," kata Hamzah kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan dan penyampaian sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di IPD Ampang Jaya di sini hari ini.

Susulan penahanan kedua-dua suspek itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM20,820 iaitu 88 biji pil ekstasi, 170 biji pil erimin 5, 68.6 gram (g) dadah disyaki syabu, satu kilogram dadah disyaki serbuk ekstasi dan 12 botol berisi cecair yang disyaki mengandungi ekstasi.

Kedua-dua suspek yang positif ujian urin direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada majlis berkenaan, Hamzah menyampaikan sijil kepada 60 penerima APC.

-- BERNAMA