Sepasang kekasih dikenakan denda RM1,000 oleh Mahkamah Syariah Kuala Terengganu hari ini kerana kesalahan berkhalwat.

Hakim Syarie turut mengarahkan pasangan berusia 22 tahun itu dipenjara seminggu sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan.

Keputusan dibuat selepas pasangan yang masing-masing beralamat dari Batu Rakit, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah ( Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Sebelum itu, mereka didakwa berkhalwat di dalam sebuah rumah di Flat Bukit Kecil, di sini, kira-kira jam 11.30 malam, pada 15 Febuari lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sekumpulan anggota penguat kuasa syariah Daerah Kuala Terengganu membuat serbuan di sebuah rumah selepas menerima maklumat awam.

Semasa sampai di lokasi, pintu utama rumah tertutup rapat sebelum diketuk beberapa kali sambil memberi salam.

Lebih kurang dua minit kemudian, pintu dibuka seorang wanita dan pemeriksaan lanjut di dalam rumah dijalankan sebelum anggota bertugas ternampak kelibat seorang lelaki cuba melarikan diri ke rumah sebelah melalui balkoni belakang rumah.

Siasatan mendapati mereka tiada hubungan suami isteri atau mahram dan mereka juga mengaku berada bersama di dalam rumah sebelum serbuan dilakukan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Nurul Hajja Mustafa.