Baru-baru ini, rakaman gambar pasangan suami isteri Mat Salleh memungut sampah di sebuah kawasan perumahan menjadi viral di media sosial.

Rakaman yang dikongsi oleh akaun Facebook bernama Zaki Bai menunjukkan pasangan suami isteri, Micheal Joseph dan Tammy Sue sedang membersihkan kawasan perumahan di Pasir Gudang, Johor Bahru dengan memungut sampah-sarap.

Tindakan itu nyata mengejutkan netizen, dan pelbagai pujian melimpahi media sosial.

Rata-rata netizen memuji perbuatan murni pasangan itu yang sanggup mengutip sampah demi menjaga kebersihan kawasan tersebut.


Memetik laporan media tempatan, Joseph dan Tammy berkata mereka tidak menyangka perbuatan mereka akan menjadi viral.

Menurut Joseph, khidmat itu dilakukan sejak tiga hingga empat bulan lalu selepas mereka berpindah ke negeri itu pada Disember 2014.

Tambahnya, ia merupakan satu langkah yang dilakukan secara sukarela dan sebahagian daripada prinsip hidup mereka – sentiasa berbuat baik kepada orang lain.

"Ini hanya sumbangan kecil kami kepada jiran tetangga.

"Kami ingin membantu mereka dengan memastikan kawasan perumahan ini sentiasa bersih selain memudahkan tugas petugas yang memungut sampah di kawasan ini,” kata Joseph seperti dipetik daripada portal Harian Metro.

Menurut bekas wartawan Texas itu, dia dan isterinya mengambil keputusan ini ketika melakukan senaman dengan berjalan di sekitar kawasan perumahan itu.

Sejak hari itu, mereka mengambil masa kira-kira 45 minit setiap hari Isnin dan Khamis bagi melakukan perkara tersebut.

Menurut Tammy yang juga bekas jururawat di Texas, dia dan suaminya selama ini diajar untuk mencintai orang sekeliling dan itu antara cara mereka menunjukkan kasih sayang kepada jiran tetangga.

"Ada jiran memberitahu bahawa gambar kami tersebar di laman sosial.

"Jiran dan orang sekeliling amat menghargai apa yang kami lakukan.

“Ada yang akan memberhentikan kenderaan dan mengucapkan terima kasih, malah ada juga yang menghulurkan makanan dan minuman buat kami.

"Bagi kami, ini bukan soal kebersihan semata-mata kerana di mana saja, malah di Amerika Syarikat juga, sampah sarap itu memang akan wujud,” katanya kepada wartawan.