Sepasang suami isteri yang merupakan pensyarah di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang sebelum ini direman lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan kuasa membabitkan nilai RM52,000 dibebaskan di Mahkamah Ayer Keroh, di sini hari ini.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Mohd Anuar Ostadi membenarkan suspek lelaki yang berusia 35 tahun yang bertugas sebagai pensyarah kanan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal itu dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin.

Manakala isterinya yang berusia 32 tahun yang juga pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan itu dibebaskan dengan jaminan tunai RM10,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan bagi kedua-dua suspek iaitu mereka perlu melaporkan diri di pejabat sprm melaka setiap bulan.

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap bewarna jingga SPRM, tiba di pekarangan kompleks mahkamah sekitar 10.20 pagi diiringi anggota dan pegawai SPRM sebelum dilihat keluar dari perkarangan mahkamah kira-kira 30 minit kemudian.

5 September lalu, kedua-dua suspek itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di Melaka bagi membantu siasatan mengikut seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Tahanan dibuat selepas SPRM menerima aduan membabitkan suami isteri itu yang disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mencadangkan kepada pihak pengurusan fakulti, memilih syarikat milik mereka bagi pembelian barang makmal serta perkhidmatan penyelidikan membabitkan nilai RM52,000 sekitar Mac 2015 hingga Jun 2016.