KUALA TERENGGANU:Sepasang suami isteri yang juga selebriti dipercayai telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis yang dipercayai untuk membantu siasatan kes pengubahan wang haram.

Pasangan berkenaan dilaporkan hadir ke ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada tengah hari ini untuk diambil keterangan membabitkan perniagaan yang diusahakan mereka.

Selain suami isteri itu, beberapa termasuk selebriti lain yang mempunyai kaitan juga mungkin akan dipanggil.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika ditanya mengenai terdapat dakwaan pasangan selebriti dipanggil untuk disiasat berkata, beliau kurang pasti mengenai perkara itu.

“Yang (pasangan selebriti dipanggil SPRM) itu saya kurang pasti… tetapi mungkin yang dikatakan artis ke tidak saya tidak tahu.

“Tapi kalau berdasarkan soalan yang umum begini ramai orang dipanggil ke pejabat kita… jadi kalau boleh spesifik lah kes mana jadi baru kita boleh sahkan,” kata beliau.

Azam berkata demikian kepada wartawan selepas majlis sambutan ulang tahun SPRM ke-53 dan perasmian Kompleks SPRM Terengganu yang disempurnakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali di sini pada Khamis.