Sepasang suami isteri maut manakala anak lelakinya parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta dalam kejadian di Kampung Tempinis, Jabi, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, penunggang Mat Halimi Ibrahim, 31 tahun, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Nik Malini Nik Omar, 31 tahun, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Jabi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang menaiki motosikal Honda EX5 dari arah Kampung Tembila menghala ke Kampung Renek.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian dikatakan secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Saga Aeroback dari arah bertentangan telah hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan mangsa lalu melanggar motosikal dinaiki mereka.

"Akibat daripada perlanggaran itu, Mat Halimi telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pembonceng iaitu isterinya meninggal dunia semasa dalam rawatan di Klinik Kesihatan Jabi.

"Seorang lagi pembonceng iaitu anak pasangan itu, Mohd Haziq Daniel, 8 tahun, dan pemandu kereta Mohd Noor Zakiman Ibrahim, 49 tahun, dari Kampung Lay Out Hilir, Jabi cedera parah dan dibawa ke Hospital Besut untuk menerima rawatan," katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa termasuk pemandu kereta dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Mohd Zamri berkata lagi, pelanggaran tersebut turut menyebabkan kereta terbabit terbalik dengan keadaan keempat-keempat tayar di atas.

Menurutnya, mayat pasangan suami isteri itu dibawa ke Unit Forensik, Hospital Besut untuk bedah siasat.

"Hasill bedah siasat mendapati punca kematian Mat Halimi akibat kecederaan parah yang dialaminya iaitu patah leher, tulang rusuk dan kaki manakala isterinya patah leher," katanya.

Menurut bapa Nik Malini, Nik Omar Nik Hassan, sebelum kejadian tiga beranak itu dari rumah mereka di Kampung Tempinis dalam perjalanan ke bazar Ramadan Renek untuk membeli juadah berbuka puasa.

Katanya, anaknya mempunyai dua anak tetapi petang itu hanya membawa bersama Mohd Haziq Daniel kerana seorang lagi anak mereka, Mohd Halfiq, 9 tahun, berada di rumah saudara Mat Halimi di Kampung Pulau Berangan, Bukit Kenak dekat Jertih.

"Saya mengetahui kejadian itu apabila diberitahu penduduk ketika saya berada di rumah salah seorang adik Nik Malini di kampung sama (Tempinis) sejurus selepas kejadian," katanya.

Kata Nik Omar lagi, jenazah anak dan menantunya dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Kampung Tempinis malam tadi.