Sepasang suami isteri maut setelah kenderaan yang mereka naiki hilang kawalan lalu terbabas dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Bota Kanan-Parit pada petang Khamis.

Dalam kejadian sekitar 1.30 tengah hari itu, Iman@Othman Ahmad, 78, dan Asah Hashim, 67, yang menetap di Gelung Pepuyu, Bota, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohd Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kenderaan jenis Perodua Kelisa sedang menghala ke Bota Kanan dari arah Parit sebelum terlibat dalam insiden berkenaan.

“Sesampainya di tempat kejadian, secara tiba-tiba mangsa hilang kawalan ke atas kenderaan dan terbabas ke bahagian kanan jalan lalu masuk ke dalam parit.

“Mangsa telah dikeluarkan dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada petang Khamis.

Jelasnya, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Changkat Melintang bagi tujuan bedah siasat.

“Siasatan mendapati kedua-dua mangsa warga emas itu tidak bekerja dan kes akan disiasat secara lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi.