Pasar Basah Sungai Maong di Kuching dan Kampung Serikin di Bau hari ini diisytiharkan sebagai lokasi baru wabak Rabies atau penyakit anjing gila.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Penyelarasan Wabak Rabies yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap pengerusi jawatankuasa itu hari ini.

"Sehingga hari ini, sebanyak 22 kawasan diisytiharkan sebagai lokasi Rabies," kata sekretariat itu dalam kenyataan di sini.

Kawasan dilanda wabak Rabies ialah Kampung Krait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Saroban, Kampung Tangga, Kampung Ampungan, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, Pekan Siburan, Bandar Serian dan Batu 45, Kuching-Sri Aman di Bahagian Serian.

Lokas lain ialah Kampung Entubuh dan Kampung Temong Mura di Tebedu; Rumah Janta Punggu Mawang di Sri Aman dan Batu 5, Jalan Semeba di Kuching.

Sementara itu, sekretariat berkenaan menyatakan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak menyediakan empat Klinik Gigitan Anjing di Hospital Umum Sarawak, Hospital Serian, Klinik Kesihatan Sentosa dan Klinik Kesihatan Sri Aman untuk memberi perkhidmatan pengurusan kes gigitan anjing bagi pesakit yang tinggal berdekatan.

"Bagi kes gigitan anjing di luar kawasan empat klinik itu, pesakit dinasihati untukpergi ke klinik kesihatan atau hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan," kata kenyataan itu.

JKN Sarawak juga memohon masyarakat yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 1 April hingga sekarang untuk membuat pemeriksaan di fasiliti kesihatan yang terdekat.

Secara kumulatif dari 2 Julai hingga 25 Julai, sebanyak 402 kes gigitan baharu dikesan di Bahagian Serian iaitu 31 kes gigitan, Bahagian Sri Aman (tiga kes) dan Bahagian Kuching (16 kes) hari ini.

"Ini menjadikan kes kumulatif gigitan anjing sejak 1 April hingga ke hari ini berjumlah 879 kes. Berdasarkan data di klinik gigitan anjing di Hospital Umum Sarawak dan di Hospital Serian, seramai 568 orang telah datang untuk menerima suntikan vaksin," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan sehingga hari ini, sebanyak 3,604 ekor anjing telah divaksin dalam ProgramPelalian Penyakit Rabies di Padang Bola Keranjang Batu 7, Kota Sentosa.

"Ini menjadikan jumlah haiwan peliharaan yang telah divaksin setakat ini ialah 17,844 ekor yang terdiri daripada 10,204 ekor anjing, 7,595 ekor kucing dan 45 ekor haiwan lain," kata kenyataan itu.

Sekretariat itu berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pencegahan dan Pengawalan Wabak Rabies (Sarawak-Kalimantan) yang diadakan di Pejabat Daerah Tebedu Serian pagi tadi turut mencadangkan enam perkara untuk mengatasi wabak itu terutamanya di kawasan sempadan.

Cadangan itu ialah mewujudkan kerjasama di bawah naungan SOSEK MALINDO supaya mesyuarat boleh diadakan dari masa ke semasa sekiranya diperlukan; bersetuju untuk membuat vaksinasi bersama di bawah 'Immune Belt' di kawasan sempadan; mempertingkatkan promosi kesedaran mengenai Rabies di sempadan dengan memberi pamplet yang mempunyai dwibahasa (Malaysia dan Indonesia)

Mesyuarat itu juga memutuskan untuk mewujudkan komunikasi lebih berkesan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar dari Sarawak dan Kalimantan Barat manakala JKNS boleh berhubung terus dengan Dinas Kesehatan Kalimatan Barat; mengadakan operasi bersama dengan mewujudkan satu SOP diantara Sarawak dan Kalimantan Barat untuk kerjasama operasi Rabies di perbatasan supaya tidak timbul banyak masalah dan tidak memberi izin import dan eksport haiwan.

--BERNAMA