Tutup

Pasarkan nasi lemak, tosei, dim sum ke seluruh dunia secara francais

Pasarkan nasi lemak, tosei, dim sum ke seluruh dunia secara francais
Dr Mahathir menyampaikan Anugerah Francais Terbaik 2018 kepada CEO Global Art, Mahair Goh pada majlis Anugerah Francais Malaysia 2018 malam tadi. Turut kelihatan, Saifuddin (kiri) dan Mohd Redzuan (dua, kanan). --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melihat nasi lemak, tosei dan dim sum Malaysia dipasarkan ke seluruh dunia melalui sistem francais pada suatu hari nanti.

"Terdapat banyak makanan di Malaysia yang boleh dipasarkan kerana negara kita mempunyai pelbagai makanan dan sedap.
"Kita belum melihat francais berkembang dalam penjualan nasi lemak, dim sum dan tosei. Semua ini mempunyai potensi untuk berkembang ke serata dunia," katanya pada Malam Anugerah Francais Malaysia 2018 di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia Datuk Radzali Hassan.
Dr Mahathir berkata usahawan tempatan perlu mempelajari daripada sistem francais yang berjaya mengembangkan produk makanan mereka ke seluruh dunia seperti McDonald's dan Starbucks.

"Kita masih kurang memahami pengurusan francais dan sebab itu kita (syarikat dan usahawan) belum berkembang seperti McDonald's.

"Ini adalah harapan kerajaan. Kerajaan sedar perniagaan francais memberi keuntungan kepada peniaga dan usahawan," katanya.

Anugerah Francais Malaysia diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat francais yang telah memberi sumbangan kepada industri francais di Malaysia.

-- BERNAMA