Tutup

Pasport curi digunakan naik MH370, Zahid arah siasatan dalaman Imigresen

Pasport curi digunakan naik MH370, Zahid arah siasatan dalaman Imigresen
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan bagaimana pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak membuat pemeriksaan yang teliti sehingga boleh melepaskan dua penumpang yang menggunakan pasport curi menaiki pesawat MH370 yang sehingga ini masih hilang.

"Saya masih hairan tak kan (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia," katanya seperti dipetik oleh Bernama lewat Ahad.
Menurut Ahmad Zahid, satu siasatan dalam terhadap Jabatan Imigresen telah dimulakan terutama ke atas pegawai yang bertugas di kaunter imigresen di KLIA semasa penerbangan MH370 pada Sabtu lepas.

Siasatan itu dijalankan oleh sebuah pasukan khas yang diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Aloyah Mamat.
Ahmad Zahid juga berkata setakat ini tiada sebarang kesimpulan boleh dibuat berhubung isu itu memandangkan siasatan baru saja bermula iaitu sebaik sahaja pemilik sebenar pasport berkenaan mendakwa dokumen mereka telah dicuri.

Beliau juga menarik perhatian adalah sukar untuk menentukan kesahihan sesuatu pasport antarabangsa yang dibawa oleh seseorang pemegang memandangkan bukan semua negara menggunakan sistem biometrik dan kod bar seperti Malaysia.

Nama dua warga Eropah — Chritian Kozel dari Austria dan Luigi Maraldi dari Itali —  disenaraikan sebagai antara penumpang pesawat MH370 dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing yang kemudiannya hilang dari radar sejak 1.30 pagi Sabtu lalu.

Tuan tubuh yang sebenar bagaimanapun tidak menaiki pesawat itu dan memaklumkan pasport mereka dicuri di Thailand dalam tempoh dua tahun lalu.

Agensi berita AFP melaporkan tiket kedua-dua penumpang atas nama dua warga Eropah itu dibeli di Pattaya. Tiket itu dibeli pada masa yang sama dan mempunyai nombor rujukan yang berturut.

Tiket atas nama Kozel dan Maraldi ditempah bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan seterusnya ke Amsterdam sebelum menaiki pesawat berasingan ke Frankfurt dan Copenhagen.

Dalam perkembangan berkaitan, Interpol mengesahkan dua pasport curi yang dikesan digunakan oleh dua penumpang pesawat MH370 ada dalam senarai pangkalan maklumat Dokumen Perjalanan Dicuri atau Hilang miliknya.

Interpol juga memaklumkan ia sedang berusaha mengesan identiti sebenar penumpang yang menggunakan pasport curi untuk menaiki pesawat Malaysia Airlines yang hilang.

Sementara itu, polis Thailand sedang menyiasat sindiket pasport curi di negara itu selepas satu daripada dua pasport curi yang digunakan untuk menaiki pesawat MH370 disahkan dicuri di Phuket.