Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) digesa menambah baik aspek teknikal bagi memastikan bekalan air yang disalurkan dapat sampai ke rumah pengguna khususnya di kawasan tinggi mengikut waktu jadual catuan yang ditetapkan, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata penambahbaikan itu termasuk membuka injap air lebih awal daripada waktu bekalan air sepatutnya sampai ke rumah pengguna pada 10 pagi pada hari bukan catuan bekalan.

"Berdasarkan jadual catuan bekalan air pengguna akan menerima bekalan air semula pada 10 pagi dan sudah pastinya mereka beranggap tepat 10 pagi bekalan air akan sampai ke rumah mereka.

"Sedangkan ia mengambil sedikit masa untuk bekalan air tersebut sampai ke rumah pengguna selepas injap air dibuka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Perkhidmatan Awam Negeri Melaka 2020 di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan serta keluhan pengguna di Facebook SAMB berhubung bekalan air yang tidak diterima mengikut waktu jadual catuan yang ditetapkan.

Melaka mula melaksanakan catuan secara harian bermula semalam melibatkan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus penduduk di negeri ini.

Pada pukul 10 pagi semalam SAMB sudah melaksanakan penutupan injap air bagi proses catuan bekalan di seluruh Melaka membabitkan 87 injap air di Melaka Tengah, Alor Gajah (41) serta Jasin (29) dan ia hanya dibuka semula pada 10 pagi hari ini.

SAMB dalam kenyataan hari ini di Facebook rasmi agensi itu memberitahu kelewatan membekalkan bekalan air tidak seperti dijadualkan disebabkan beberapa faktor antaranya tekanan air, bentuk muka bumi dan jajaran paip.

Terdahulu pada majlis itu, Adly menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri kepada 485 penjawat awam dan Anugerah Khas Perkhidmatan kepada 23 kakitangan daripada Pejabat Exco dan Pejabat Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri.

Penerima anugerah berkenaan menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM1,000.

-- BERNAMA