Kementerian Pembangunan Luar Bandar komited untuk memastikan produk usahawan luar bandar berupaya menembusi pasaran global sebagai usaha meningkatkan lagi pendapatan dan sosioekonomi penduduk di kawasan berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata komitmen itu adalah seiring dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 yang antara lain merangkumi aspek kelangsungan kesejahteraan hidup serta pembangunan ekonomi luar bandar mampan dan berdaya saing.

Justeru, Rina berkata, program baharu kementerian 'Rural to Global' akan menjadi platform menghantar usahawan-usahawan luar bandar ke pameran atau ekspo di luar negara bagi membantu golongan itu menembusi pasaran antarabangsa.

"Baru-baru ini kita telah menghantar usahawan-usahawan luar bandar ke Malaysia Fest di Singapura, yang mana, ada antaranya yang pertama kali menghadiri ekspo seumpama itu di luar negara.

"Namun, apa yang lebih penting ialah kita memberi pendedahan kepada usahawan luar bandar terlibat dalam ekspo itu mengenai kriteria produk berkualiti sekali gus membantu meningkatkan produktiviti mereka kerana kita mahu usahawan luar bandar ini mempunyai minda lebih jauh iaitu memasarkan produk ke seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Pusat Pentadbiran dan Pusat Kebudayaan Rungus di Dataran Pertubuhan Momogun Rungus Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick dan Presiden Pertubuhan Momogun Rungus Malaysia Datuk Wetrom Bahanda.

Rina berkata produk kraftangan manik suku kaum Rungus juga berpotensi menembusi pasaran global kerana ia mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri selain boleh dipelbagaikan dengan menghasilkan dompet dan beg tangan yang boleh dijual pada harga tinggi.

"Tidak mustahil dengan ada bimbingan betul daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, usahawan kraftangan manik ini mampu ke peringkat antarabangsa dan saya sangat menggalakkan mereka memasarkan produk ke luar negara.

"Kita tidak hanya memberi penduduk luar bandar kemudahan infrastruktur sahaja, tetapi juga kita mahu ekonomi mereka dapat ditingkatkan," katanya, dan menambah pusat kebudayaan itu antara lain boleh berfungsi sebagai lokasi mengadakan kelas pembuatan manik.

Sementara itu, Wetrom berkata, bangunan bernilai RM1 juta daripada kerajaan Persekutuan itu mula dibina pada 2017 atas tanah seluas 1.09 hektar dan siap sepenuhnya tahun lalu sebelum diserahkan kepada pertubuhan itu pada Julai lepas.

Pusat kebudayaan itu antara lain akan menempatkan galeri atau mini muzium yang memaparkan sejarah kehidupan dan kebudayaan suku kaum Rungus bagi menarik kehadiran pelancong, katanya.

-- BERNAMA