Sebuah pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat kes pembunuhan Setiausaha PKR Bahagian Miri, Bill Kayong yang mati ditembak di Lutong, Miri, Sarawak pada pagi Selasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ia akan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner S. Dev Kumar dan dibantu JSJ Bukit Aman.

"Kita sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat punca kejadian. Saya juga menyeru orang ramai yang melihat kejadian di Miri itu untuk tampil memberikan maklumat dan membantu polis.

"Kita juga minta buat masa ini, semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi sebelum polis memastikan dan mengetahui punca kejadian sekali gus mengesan jenayah," katanya.

Khalid berkata demikian semasa sidang media selepas pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama PDRM bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Arkib Negara Malaysia dan Institut Integriti Malaysia (Integriti) serta Pelancaran Buku Kod Etika PDRM, Pelan Integriti PDRM 2016-2020 dan Manual Pematuhan Standard PDRM di sini hari ini.

Dalam pada itu kata Khalid, pihaknya masih belum mengenal pasti motif pembunuhan tersebut.

Bill yang ketika itu sedang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota beserta logo PKR, ditembak dari sebelah tingkap pemandu sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau dilaporkan ditembak pada leher dan ditemui rebah pada tempat duduknya kira-kira jam 9.20 pagi.

Bill, 43 tahun, juga merupakan setiausaha PKR Cabang Miri dan setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teoh.

Semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu, Bill bertanding di kerusi DUN Bekenu di mana dia tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Rosey Yunus dalam pertandingan empat penjuru.

Sementara itu, Khalid di dalam ucapannya memberitahu, pihaknya sentiasa meletakkan nilai integriti di dalam setiap komponen perkhidmatan yang diberi mengikut pematuhan standard yang ditetapkan.

LAPOR LANGSUNG Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong mati ditembak

BACA: 'Tangkap dan bawa pembunuh Bill Kayong ke muka pengadilan!' - PKR