Kementerian Kesihatan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang bencana banjir dengan menghantar pasukan perubatan ke setiap pusat pemindahan untuk memastikan mangsa mendapatkan bekalan makanan dan minuman yang bersih.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, selain mempunyai pengalaman luas berhadapan keadaan itu pihaknya turut memiliki Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada yang diguna pakai di pusat pemindahan seperti berperanan menjamin sumber air dan makanan sentiasa bersih.

"Khusus untuk pusat pusat pemindahan banjir, kita akan hantar pasukan kesihatan kepada tiap-tiap pusat pemindahan untuk memastikan air yang mereka minum dan makanan adalah (dari sumber) yang sihat dan bersih.

"(Selain memastikan) kawasan itu selamat daripada penyakit-penyakit yang boleh berjangkit," ujar Subramaniam.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Bersalin Berisiko Rendah (LRBC) Alor Setar Low Risk Birthing Centre di sini, siang tadi.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail.

Dalam pada itu, setakat ini kemudahan kesihatan tidak terjejas akibat banjir yang sedang berlaku di Pulau Pinang dan Kedah, dan semua kemudahan itu masih boleh berfungsi secara optimum.