Satu pasukan Sukarelawan Darul Takzim yang terdiri daripada golongan belia dari negeri Johor sedia diaktifkan bagi mengurangkan keresahan dalam kalangan masyarakat berikutan penularan pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif tersebut dibuat selepas perbincangan dengan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri R Vidyananthan.

Setakat ini, pasukan tersebut terdiri daripada gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Groom dan IKLAS.

“Sukarelawan Johor Darul Takzim akan dibahagikan kepada dua fungsi utama. Pertama, pasukan ini akan berfungsi sebagai lidah penyebar berita terkini melalui media sosial bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat dan benar.

“Fungsi yang kedua, terdapat pasukan yang akan lebih fokus dengan membantu petugas-petugas di lapangan dengan syarat pasukan ini menerima latihan yang mencukupi serta diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diberi kebenaran untuk turun di lapangan.

"Ini bagi membantu meringankan beban petugas-petugas,” demikian katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, Onn Hafiz berharap semua pihak dapat mematuhi segala perintah dan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa, selain tidak menyebarkan berita palsu dalam usaha mengekang pandemik tersebut.

Setakat Selasa, 673 kes positif COVID-19 dilaporkan di negara ini, dengan dua kematian dicatatkan.