Cubaan meloloskan diri seperti seorang 'stuntman' atau pelakon lagak ngeri ketika diserbu polis membawa padah apabila suspek terbabit patah kaki kanannya akibat terjatuh dari tingkat tiga sebuah pangsapuri.

Lelaki warga Afrika itu merupakan antara 95 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diberkas dalam operasi bersepadu Polis Gombak bersama Jabatan Imigresen di Pangsapuri Desa Aman Puri, di Kepong, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata melalui Op Black Flora yang turut dilakukan serentak di satu lagi kawasan iaitu Subang Jaya pada Sabtu malam, yang menumpu kepada warga asing Afrika.

Dalam serbuan di daerah Gombak, sejumlah 61 unit rumah di lima blok pangsapuri berkenaan dikesan menjadi tumpuan warga Afrika menyewa.

Dengan kehadiran lebih 300 pegawai dan anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Gombak, seramai 117 warga asing telah diperiksa.

Namun selepas disaring, 95 pendatang asing termasuk 78 lelaki dan 17 wanita ditahan.

Selain warga Afrika, turut ditahan ialah beberapa individu warga Thailand, Pakistan, Filipina dan juga Myanmar.

Menurut polis, 90 tangkapan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1953, manakala 5 lagi individu ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.