Tindakan undang-undang akan diambil ke atas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menceroboh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulas perkara itu susulan tangkapan ke atas 1,408 PATI yang masuk secara haram sejak awal bulan ini.

"PATI yang sudah memasuki negara, kita tidak boleh usir mereka lagi sebab berdasarkan undang-undang antarabangsa negara yang dimasuki PATI mesti bawa mereka ke darat.

"Prosedurnya ialah mereka akan ditahan di depoh, dibicara di mahkamah, dan kemudian mungkin dihukum penjara contohnya, selepas tamat tempoh hukuman itu, kita akan hantar mereka balik. Kita akan bincang dengan kedutaan mereka dengan tambang balik akan ditanggung mereka, keluarga mereka atau kerajaan mereka," katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Bagi PATI yang belum sempat masuk ke dalam negara, Prosedur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu menggariskan, mereka akan diusir daripada menceroboh sempadan negara.

"Kalau belum sempat masuk ke sempadan, kita akan usir mereka. Sebelum ini, kita dengar warga Rohingya yang belum sempat masuk, kita usir mereka walaupun ada yang marah. Kita tak kejam, malah kita beri mereka makan," ujarnya.