Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) berdepan hukuman mati selepas dicekup bersama dadah yang dipercayai untuk diedar dalam satu kejadian di Kampung PPRT, Jalan Tengah Nipah, dekat sini, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, suspek berumur dalam lingkungan 40 tahun itu diberkas bersama dadah seberat 52.7 gram.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggotanya sedang menjalankan Ops Tapis lalu terserempak suspek dalam keadaan mencurigakan menunggang motosikal.

Menurutnya, lelaki itu kemudiannya berhenti di tepi jalan di lokasi itu lalu dihampiri anggota bertugas.

"Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri dan turut bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan, namun dia berjaya ditahan.

"Semasa pemeriksaan dibuat, polis berjaya menemui dadah berkenaan dalam poket seluar, dianggarkan bernilai RM7,906.

"Ujian air kencing suspek didapati positif. Suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri itu disyaki warga Filipina,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Suspek dipercayai warga Filipina.

Nasri berkata, suspek dipercayai pengedar dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.