Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyifatkan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub, mengarahkan kakitangan kementeriannya untuk tidak menghadiri majlis politik beliau sebagai satu tanda beliau seorang ahli politik sejati.

Presidennya, Brig-Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji sambil memuji kenyataan menteri itu berkata keputusan Salahuddin menggambarkan pemahaman dan pengetahuan tentang peranannya sebagai menteri dan ahli politik.

"Kenyataan Salahuddin dapat dilihat sebagai ciri ahli politik sejati kerana tidak mengambil kesempatan atas kedudukannya sebagai menteri untuk menonjolkan dirinya sebagai seorang yang penyayang dan seorang ahli politik sanjungan.

"Kami mahu kerajaan baharu untuk mengambil petunjuk daripada kenyataan Salahuddin dan menerima pakainya sebagai satu dasar bagi semua menteri atau timbalan menteri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semasa satu majlis di Kota Bharu, Khamis lepas, Salahuddin dilaporkan berkata penjawat awam di bawah kementeriannya diingatkan supaya tidak menghadiri majlis politiknya tetapi memberi khidmat kepada rakyat dan bukan menjadi penjawat awam politik.

"Kami percaya dasar sedemikian akan menghalang penyalahgunaan yang begitu berleluasa pada masa lepas dan dengan itu menjimatkan kakitangan kementerian daripada melaksanakan fungsi di luar skop tanggungjawab jabatan mereka," kata Mohamed Arshad.

Katanya ketua jabatan perlu mengeluarkan arahan khusus kepada kakitangan dengan menjelaskan apa yang menjadi tugas politik dan bukan sekadar untuk memastikan jumlah orang yang ramai pada sesuatu majlis.

-- BERNAMA