Masyarakat perlu berevolusi di dalam mendefinisikan semula pelbagai perkara yang melibatkan cita-cita bersama bersesuaian dengan realiti baru.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah berpendapat masyarakat sentiasa berevolusi serta memahami realiti semasa untuk membina masa depan bersama.

Di sebalik komitmen kerajaan yang tinggi di dalam memandu negara, mahu tidak mahu, masyarakat yang menjadi nadi penggerak ke arah membina masa depan negara.

Itu antara rumusan daripada pertembungan pendapat antara tiga ahli panel, Datuk Saifuddin Abdullah, Dr. Ridhuan Tee Abdullah serta Yusmadi Yusoff di dalam program Sudut Pandang yang bersiaran pada Jumaat malam. Episod ini melihat ketiga-tiga panel membincangkan tajuk "Merdeka: Dewasakah Malaysia?"

Selain itu, pendefinisian makna patriotisme itu juga menjadi intipati perdebatan selain daripada merapatkan jurang antara kaum.

Ahli panel turut menekankan tentang makna patriotisme yang dilihat perlu diangkat dan bertapak di atas dimensi yang lebih meluas.

Menurut beliau, ia melangkaui sekadar melibatkan semangat. Sebaliknya penghayatan patriotisme itu perlu diterjemah melalui dimensi baru kerjasama antara kaum di dalam pelbagai aspek antaranya ekonomi.

Medan perdebatan mengenai isu polarisasi di antara ketiga-tiga ahli panel yang berbeza pasak ideologi itu bagaimana pun bersetuju permuafakatan di dalam kepelbagaian seharusnya kekal menjadi kekuatan Malaysia sekarang dan masa hadapan.

Sudut Pandang bersiaran selama sejam setiap Jumaat pukul 9 malam, merungkai berita utama sepanjang minggu.

Interaksi dan kongsi apa sahaja perspektif berita dari kaca mata anda bersama Sudut Pandang di Twitter & Facebook dengan hash tag #501SudutPandang.