KUALA LUMPUR :Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan media terakhirnya pada 2020 menasihatkan semua rakyat Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalkan kawalan kendiri.

Menurut beliau, setiap SOP ditetapkan harus diikuti sebaiknya bagi memastikan diri, keluarga dan masyarakat kekal selamat.

Tambahnya, 2020 telah meninggalkan banyak kesan kepada semua dan 2021 pastinya lebih mencabar.

"Esok kita akan memasuki Tahun Baharu 2021 yang tentunya lebih mencabar dan menuntut kita untuk lebih cekal mengharunginya.

"Marilah sama-sama kita berdoa agar kehadiran tahun 2021 ini akan membuka lembaran dan sinar baharu untuk kita semua khususnya dalam mendepani pandemik COVID-19.

"Sentiasa patuhi SOP dan amalkan kawalan kendiri untuk memastikan diri, keluarga dan
masyarakat kita kekal selamat," kata Ismail Sabri. 

Di akhir kenyataan, beliau turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu untuk semua rakyat Malaysia.