Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Patuh SOP bukan hanya di sekolah sahaja - Ketua Pengarah Pelajaran

Patuh SOP bukan hanya di sekolah sahaja - Ketua Pengarah Pelajaran
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dr Habibah Abdul Rahim (dua kiri) berkata, peringatan perlu terus diberikan kepada pelajar supaya tidak berlaku sebarang peningkatan mendadak kes COVID-19. - Foto Astro AWANI
KAJANG: Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk pelajar dalam sesi persekolahan yang akan dibuka nanti harus sentiasa diamalkan dan bukan hanya ketika berada di sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dr Habibah Abdul Rahim berkata, peringatan perlu terus disematkan kepada pelajar supaya tidak berlaku sebarang peningkatan mendadak kes COVID-19.
“Saya rasa peringatan perlulah dibuat secara berterusan kerana kita hendak menghindari wabak ini supaya tidak meningkat dengan mendadak sekali lagi. Jika itu berlaku, maka susahlah untuk kita mengadakan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

“Peringatan perlu terus diberi kepada pelajar supaya supaya mereka sentiasa ingat bahawa untuk mematuhi garis panduan ini, bukan setakat dalam sempadan sekolah tetapi juga di luar ketika bersama keluarga atau berinteraksi dengan orang lain,” katanya.
Habibah berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja meninjau kelas pra sekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat di sini pada Jumaat.

BACA: Sekolah mula dibuka sepenuhnya berperingkat bermula 15 Julai

Dalam pada itu, beliau berharap semua pihak mematuhi SOP ditetapkan terutamanya ketika pembukaan semula lebih banyak sekolah yang akan bermula pada 15 dan 22 Julai nanti.

“Tentunya ada cabaran tapi kita amat berharap dan kita juga beri penerangan Jabatan Pendidikan Negeri dan yang berkaitan. Sekolah, guru atau masyarakat juga boleh lihat garis panduan dalam pengurusan pembukaan semula sekolah.

“Kita harap pematuhan kepada garis panduan itu oleh semua pihak sebab itu bukan saja melibatkan pengurusan sekolah tapi ibu bapa dari rumah lagi perlu beri kesedaran kepada pelajar,” ujarnya.


Katanya lagi, berdasarkan laporan diterima kebanyakan sekolah mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan di sekolah masing-masing.

“Kita juga ada dapat laporan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri, ada diberi laporan daripada polis dan dalam satu ketika, mereka melaporkan dari sekolah yang mereka lawati, mereka laporkan sekolah mereka lawat itu mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

BACA: Sekolah akan mula dibuka sepenuhnya, ini 13 perkara yang anda perlu tahu

Semua sekolah di seluruh negara akan mula dibuka secara berperingkat bermula 15 Julai ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, murid Tahun Lima dan Enam, Tingkatan Satu hingga Empat dan kelas peralihan akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai.

Katanya, murid Tahun Satu hingga Empat pula akan kembali ke sekolah bermula 22 Julai.

Sementara itu, katanya bagi pelajar Tingkatan Enam Semester 1, keputusan penawaran kemasukan calon sudah boleh disemak bermula hari ini dan pelajar akan mendaftar pada 15 Julai ini.


Tag: SOP, polis, sekolah, pelajar, kerajaan, pendidikan, calon, guru, menteri, operasi, rumah, keluarga, Malaysia, koronavirus, pengajaran dan pembelajaran



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.