Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mematuhi dasar dan arahan kementerian dalam perancangan mereka bagi menjamin kelestarian pembangunan dan kesejahteraan penduduk di masa depan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata keengganan berbuat demikian menjadi antara faktor berlakunya bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh di beberapa kawasan.

Beliau berkata dalam membuat dasar, kementerian hanya boleh menggubal tetapi tidak mempunyai kuasa mengarahkan kerajaan negeri dan PBT mematuhinya kerana kaedah penurunan kuasa yang berbeza berbanding kementerian lain.

"Di kementerian lain, mereka memiliki kuasa penuh sehingga ke peringkat daerah di mana pegawai serta pelaksana wajib mematuhi arahan atau dasar ditetapkan kementerian terbabit dengan setiap tindakan boleh dipantau.

"Keadaan menjadi lebih rumit apabila peringkat negeri (kerajaan) juga mempunyai masalah dengan PBT. Ini kerana PBT mempunyai bidang kuasa, struktur dan ahli majlis sendiri," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Noh berkata biasanya seorang Yang Dipertua Majlis Perbandaran (YDP) akur dengan setiap dasar yang digariskan kementerian tetapi masih sukar untuk melaksanakannya disebabkan karenah ahli majlis yang 'terlalu efektif' memberi cadangan dan pandangan.

Beliau berkata keadaan itu menyaksikan ada negeri tertentu menukar status sesuatu kawasan hijau dan kawasan lapang kepada pembangunan atas alasan ketiadaan tanah sedangkan pewartaan kawasan tersebut dibuat mereka sendiri.

"Oleh kerana dasar sedia ada tidak dipatuhi dan kebenaran merancang menjadi milik mutlak PBT, pembangunan yang dibuat menjadi tidak seimbang, sekali gus menyusahkan rakyat apabila bencana melanda," katanya tanpa menyatakan PBT atau negeri terbabit.

Dalam pada itu, Noh turut mengumumkan penjenamaan semula Jabatan Perancangan Bandar dan Desa kepada PLANMalaysia berkuat kuasa 25 Jan lepas dengan menggunakan slogan Perancangan Melangkaui Kelaziman.

Seiring agenda transformasi kementerian, penjenamaan semula itu juga bertujuan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta menyerlahkan identiti PLANMalaysia agar lebih dikenali di peringkat antarabangsa, katanya.

Terdahulu, beliau

merasmikan Mesyuarat Pemakaian Rancangan Fizikal Negara Ke-3 (RFN Ke-3) dan Dasar Perbandaran Negara Kedua (DPN2), yang antara lain memberi peluang kepada agensi pelaksana, pemantau dan sokongan berkongsi pandangan dan cadangan dalam menangani isu perbandaran.

-- BERNAMA