Individu yang mempunyai faktor risiko kesihatan digesa agar mematuhi ketat nasihat doktor berhubung kunjungan mereka ke pusat-pusat rekreasi air bagi mengelak jangkitan air kencing tikus.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, penghidap diabetes, penyakit paru-paru kronik, penyakit buah pinggang atau penyakit lain yang merendahkan daya tahan badan (imuniti) tidak digalak mengunjungi pusat-pusat rekreasi tersebut.

"Ini kerana golongan ini lebih berisiko untuk mendapat jangkitan. Elakkan diri daripada bermain air atau bermandi-manda di sungai atau kolam jika terdapat luka atau kudis di kulit.

"Jika terpaksa terdedah kepada air, tutup luka atau kudis tersebut dengan sempurna dengan plaster yang kalis air," katanya dalam satu kenyataan.

Nasihat itu dikeluarkan ekoran kematian seorang budak perempuan di Yan dua hari lepas dipercayai akibat terkena jangkitan air kencing tikus atau leptospirosis.

Dr Norhizan berkata pengunjung ke pusat rekreasi dinasihat agar menggunakan bekalan air yang selamat untuk minum atau membasuh makanan dan peralatan.

Jika jika tiada bekalan selamat disediakan, pengunjung hendaklah membawa bekalan air sendiri.

"Orang ramai dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan jika mendapat gejala demam, sakit kepala, sakit otot, loya atau muntah, dalam tempoh dua minggu dari tempoh mengunjungi tempat-tempat rekreasi (seperti kawasan air terjun, air sungai, tasik, kolam).

"Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelakkan kehadiran perumah haiwan khususnya tikus yang meningkatkan risiko pencemaran dengan bakteria berkenaan.

"Sampah sarap dan sia-sisa makanan yang tidak dilupuskan secara sempurna mengundang kehadiran haiwan ini," katanya.