Pemaju perlu mematuhi syarat penyediaan Penilaian Impak Trafik (TIA) kepada sebarang cadangan pembangunan yang akan menyumbang kepada penjanaan trafik tinggi.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata, input itu hendaklah diambil kira oleh pemaju dalam membuat penambahbaikan infrastruktur sedia ada di kawasan tersebut bagi menampung pembangunan yang dicadangkan.

Selain dari itu dalam mempertimbangkan cadangan pembangunan yang diterima, pelbagai kriteria penilaian perancangan perlu diambil kira bagi memastikan pemprosesan permohonan dinilai secara menyeluruh dan tepat oleh pihak DBKL.

“Antara perkara yang disebutkan, ialah syarat-syarat yang ditentukan sebelum kelulusan, akan ditentukan cadangan-cadangan seperti jajaran jalan dan kelebaran jalan, lorong-lorong persimpangan jalan, garis-garis bangunan, jenis-jenis bangunan, ketinggian bangunan, kepadatan pembangunan, nisbah plot kawasan lapang, padang, rizab sekolah, rizab sungai dan perparitan, rizab pembentungan, kemudahan awam, surau dan masjid, rumah ibadat dan sebagainya,” katanya.

Dr Shahruddin berkata demikian ketika menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu) yang bertanya adakah kementerian itu telah mengambil kira keadaan trafik, alam sekitar, infrastruktur dan sosial ketika kelulusan diberikan kepada pemaju sesuatu kawasan.

Selain daripada itu, katanya, pihak pemaju akan disyaratkan untuk mematuhi Garis Panduan Perancangan Aspek Kawalan Perancangan Pembangunan Di Kawasan Lereng Bukit bagi memastikan kawalan yang dikenakan ke atas pembangunan bagi kawasan-kawasan sensitiviti alam sekitar yang melibatkan kawasan bukit dan cerun.

“Ianya juga bagi memastikan cadangan pembangunan di kawasan tidak memberi impak yang negatif kepada kawasan persekitaran.

“Serahan bagi pelan-pelan perparitan, parit-parit induk dan kolam-kolam tadahan air hujan adalah berdasarkan kepada cadangan Sistem Pengurusan Air Hujan ataupun MSMA iaitu Manual Saliran Mesra Alam bagi mengatasi banjir kilat atau limpahan air di kawasan-kawasan pembinaan atau sekitarnya,” katanya.