Pelbagai negara menyambut ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik dengan Malaysia tahun ini dengan mengadakan acara khas dan Rusia ialah antara negara itu.

Tetapi negara dengan lebih 144 juta penduduk itu melakukannya dengan cara yang berbeza. Ia memperingati hubungan itu dengan menghadiahkan patung Nicholas Miklouho-Maclay, penjelajah dan saintis Rusia pertama yang datang ke Tanah Melayu antara November 1874 dan Oktober 1875.

Miklouho-Maclay menghabiskan masa selama 165 hari menjelajah ke Tanah Melayu dan mempelajari bahasa Melayu serta menulis beberapa catatan dalam diari beliau dalam bahasa Melayu. Beliau bernasib baik kerana Sultan Johor, Sultan Abu Bakar menghargai tentang pentingnya penyelidikan saintis dan memberikan kepadanya apa-apa bantuan yang mungkin.

Duta Rusia ke Malaysia, Valery N. Yermolov, berkata kerajaan Rusia memilih patung Miklouho-Maclay untuk dihadiahkan kepada kerajaan Malaysia kerana personalitinya dan juga kerana beliau ialah orang Rusia pertama menjejakkan kaki di Tanah Melayu."

Beliau berkata demikian pada perasmian pameran seni "Malaysia-Rusia, Dahulu, Kini dan Akan Datang" di Balai Seni Visual Negara di sini hari ini sempena ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Pameran itu berlangsung bermula hari ini hingga 23 Mei.

Pada acara itu, patung berkenaan disampaikan secara rasmi kepada kerajaan Malaysian yang diwakili oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selaku tetamu kehormat.

Yermolov berharap bahawa pameran itu akan mendekatkan lagi hubungan rakyat Rusia dengan rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa hubungan dua hala termasuk hubungan perdagangan amatlah baik. tetapi Rusia ingin meningkatkan lagi hubungan kebudayaan dan pelancongan selain pertukaran rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara.

Beliau berkata ada beberapa sebab yang menghalang usaha ke arah itu, antaranya jarak antara Rusia dan Malaysia dan ketiadaan penerbangan terus antara kedua-dua negara dan menambah bahawa kebanyakan rakyat Rusia melawat Thailand dan Indonesia.

Bagaimanapun, kerajaan Rusia sedang berusaha bagi mengatasi masalah itu yang mungkin menghalang pelancongan, kata duta itu.

Sementara itu, Reezal Merican berkata Rusia mempunyai sejarah yang panjang dalam keterlibatannya dengan Malaysia dan sesungguhnya pada hari ini, kedua-dua negara menikmati hasil daripada hubungan yang kukuh dan sihat ini.

"Masa depan akan membawa banyak potensi bagi meningkatkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Rusia. Kita akan terus pandang ke Rusia untuk kepakaran dalam penerokaan ke angkasa lepas, teknologi nuklear dan kajian Antartika.

Syarikat-syarikat Malaysia dan rakan mereka dari Rusia juga bergerak seiring ke hadapan bersama-sama dalam bidang berteknologi tinggi seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bioteknologi dan pertahanan," kata beliau.

Pengukir patung itu, Gregory Pototsky, 65, mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan ukiran patung tersebut.

Pengukir dan pelukis itu yang juga pengasas dan presiden International Academy of Kindness berharap projek beliau yang seterusnya "Symbols of Kindness - the Dandelion", monumen setinggi tiga meter akan didirikan di Kuala Lumpur. Akademi itu mengendalikan program amal, "In Russia with Kindness, from Russia with Kindness".

Pototsk, yang menganggap Malaysia sebagai "rumahnya" kerana telah lima kali melawat negara ini dan mempunyaui ramai kenalan, telah menghasilkan hampir 100 ukiran patung orang ternama di seluruh dunia termasuk Perancis, Jerman dan Amerikam Syarikat serta 130 monumen di 45 negara, empat daripadanya dipamerkan di Malaysia.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Operasi Balai Seni Visual Negara, Ameruddin Ahmad.

-- BERNAMA