Pengumuman kehadiran perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya pada Ahad membuktikan UMNO sebuah parti yang mewakili 31 juta rakyat di negara ini, adalah sebuah parti yang berjiwa besar dan penggerak transformasi nasional.

"Pejabat Presiden Myanmar keluar kenyataan isi kandungan itu katanya saya sebagai Perdana Menteri hadir dalam rapat umum, dia anggap saya campur tangan dalam urusan Myanmar.

"Saya hendak beritahu kepada dia, ini bukan soal campur tangan dalam urusan Myanmar, ini adalah soal kita pertahankan nilai kemanusiaan, nilai universal.

"Allahuakbar, saya hendak tanya kepada sidang perwakilan, apa patut saya buat? Hadir? Insya Allah, esok Najib Razak, Presiden UMNO akan hadir," katanya semasa ucapan penggulungan Presiden UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Jelasnya, seramai 56,000 orang Rohingya mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di negara ini.

"Itu angka yang kita tahu, yang kita tidak tahu ada berapa? Berapa ada di celah pokok sawit? Berapa ada di celah belukar?

"Jadi macam mana kita hendak kata ini urusan dalaman mereka, mereka buat kezaliman kepada manusia," jelasnya.

Kata Najib, ia merupakan pendirian UMNO dan menyatakan kekal dengan kenyataan berkenaan mengenai Myanmar.

Sebelum ini, Pesuruhjaya UNHCR menyatakan lebih daripada 120,000 Rohingya telah melarikan diri dari Rakhine sejak rusuhan berdarah yang berlaku pada 2012, yang mana ramai di antara mereka menempuh laut bergelora untuk ke Malaysia.

Kekejaman itu kini bertukar menjadi tindakan pembersihan etnik minoriti Rohingya oleh tentera Myanmar, setelah beberapa dekad masyarakat itu mengalami pengasingan, penghinaan, gangguan kekerasan, ketakutan dan keganasan.