"PRU paling mustahak, (masalah) dalam parti ketepikan dahulu," itu antara mesej yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sesi Taklimat Presiden di hadapan deligasi Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) petang tadi.

Mesej itu dikongsikan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil selepas taklimat tertutup yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu berakhir.

Jelas Shahrizat, taklimat tersebut lebih memfokuskan usaha untuk memenangi majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

"Datuk Seri Najib bertanyakan, 'Are you ready? Yes we are'. Sebenarnya tidak ada masalah dalaman parti.

"Cuma Datuk Seri Najib mengingatkan perwakilan UMNO bahawa PRU adalah paling mustahak. (Masalah) dalaman parti ketepikan dahulu.

"Apa yang paling mustahak dan utama adalah kita hendak tentukan kemenangan Barisan Nasional (BN) untuk PRU," ujar Shahrizat.

Sementara itu beberapa perwakilan dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut berkongsi reaksi mereka pasca ucapan Datuk Seri Najib;

"Ini satu perkara yang baik kerana semua maklum, dua tahun lalu, kita berdepan pelbagai cabaran... sebab tu amanat president kali bukan sahaja dapat menggemblengkan dan juga menyentuh selain menghargai suasana yang berbeza tahun ni, sebaliknya pada masa sama Presiden kita telah berikan penekeanan tertentu yang saya tengok diterima baik oleh para perwakilan."
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
"Beliau ingatkan ahli parti supaya kita semua mesti berada dalam
kesiapsiagaan yang paling tinggi sebelum hadapi PRU tidak lama lagi. Datuk Seri Presiden meletakkan syarat yang pertama adalah kita mesti mulakan dengan melunaskan segala masalah dalaman parti. Tiada lagi konflik dalaman antara pemimpin samada peringkat negeri, bahagian, atau cawangan."
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Haron
"Beliau tekankan betapa pentingnya untuk kita semua bersatu padu demi hadapi PRU. Dengan perkembangan ekonomi begitu baik sekarang ini, kita merasakan semua pemimpin-pemimpin sama ada di peringkat bahagian atau akar umbi hendaklah bekerjasama dan bertolak ansur antara satu sama lain."
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani