PAUiTM mahu pengendali Facebook hina Agong dikesan segera

PAUiTM mahu pengendali Facebook hina Agong dikesan segera
Yang di-Pertuan Agong menjadi mangsa penghinaan berleluasa dalam media sosial baru-baru ini. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil tindakan segera untuk mengesan pengendali laman Facebook (FB) 'Sabah-Sarawak Merdeka' yang didakwa memuat naik gambar menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setiausahanya, Shukri Ishak berkata beliau percaya kementerian berkenaan mempunyai peralatan canggih dan kepakaran bagi mengesan individu yang melakukan penghinaan berkenaan dan menyekat laman FB itu daripada terus tersebar.

"Mereka mempunyai kepakaran dan mampu mengesan individu yang melakukannya, malah jika perlu mereka boleh bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan undang-undang.
"Seri Paduka Baginda adalah Canselor UiTM dan sebarang penghinaan terhadap baginda bermaksud turut menghina pelajar, pensyarah, kakitangan dan juga alumni sendiri," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Naib Presiden PAUiTM, Abang Mohd. Hafizie Abang Bunsu, yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Muhammad Aznur Syah Azman dan ahli jawatankuasa PAUiTM, Laili Suhairi.

Shukri turut menggesa supaya polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat walaupun mereka telah membuat permohonan maaf dan mengesali atas perbuatan mereka.

Pada Sabtu, Ketua Polis Negara, Tan sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata pihaknya sedang menyemak dan meneliti 91 laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun FB itu berhubung penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Hasutan.