Perunding Perhubungan Awam Paul Stadlen bukan kakitangan kerajaan dan tidak diberi sebarang elaun dan gaji oleh kerajaan.

“Paul Stadlen bukan merupakan kakitangan kerajaan. Sehubungan itu beliau tidak diberikan sebarang elaun dan gaji oleh kerajaan,” kata Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut).

Sebelum ini, Sarawak Report dalam satu laporan mendakwa bahawa Stadlen pernah mengetuai pasukan komunikasi di Pejabat Perdana Menteri.

Stadlen, pemegang permit penduduk tetap (PR) negara ini, pernah menerajui firma perunding komunikasi Apco Worldwide cawangan Kuala Lumpur.

APCO Worldwide merupakan firma perunding perhubungan awam yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat dan mempunyai 29 cawangan di seluruh dunia.

Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan itu turut menyatakan bahawa Penyelaras Program Khas kepada Perdana Menteri, Prof Emeritus Tan Sri Dr Lim Kok Wing juga tidak diberikan sebarang elaun dan gaji semasa menjawat jawatan tersebut.

Jabatan Perdana Menteri turut menjelaskan bidang tugas Penasihat Hal Ehwal Perpaduan Negara Datuk Heng Seai Kie, yang antara lain bekerjsama dalam melaksanakan visi dan misi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional selain program yang mengukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.