Pengurusan gedung membeli belah Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) Malls mengecualikan pembayaran sewa kepada penyewa perniagaan dan runcitnya dalam perkhidmatan dan pembekalan barangan bukan keperluan penting sepanjang tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir pada 31 Mac.

Pavilion REIT memahami dan prihatin terhadap potensi impak PKP terhadap para peruncitnya, khususnya yang berada dalam kategori keperluan kurang penting, kerana mereka tidak dibenarkan membuka perniagaan seperti biasa.

"Menyokong penuh tindakan kerajaan menguatkuasakan PKP sebagai keutamaan negara, pusat beli-belah ini masih dibuka untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan dan bekalan keperluan penting seperti pasar raya, farmasi, kedai serbaneka dan kedai Makanan dan Minuman (penghantaran dan pembungkusan)," katanya dalam satu kenyataan.

Pavilion REIT turut menawarkan sewa percuma 14 hari itu kepada penyewanya di Pavilion Kuala Lumpur, Pavilion Elite, Pusat Beli-belah Da Men dan Pusat Beli-belah Intermark.

Ia berkata syarikat itu mengambil langkah proaktif dan tegas walaupun menanggung perbelanjaan tambahan berikutan COVID-19 bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti.

-- BERNAMA