Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah hilang ‘taringnya’.

Jelasnya, kelemahan PBB itu amat ketara dalam bidang politik antarabangsa apabila badan dunia itu gagal melindungi rakyat dunia yang diseksa.

Beliau yang telah 11 kali berucap di pentas antarabangsa itu akui tidak banyak perubahan yang dilakukan PBB.

“Dalam bidang sosial, usaha untuk menyelamatkan orang tertentu dan juga dalam bidang kesihatan, ini PBB berjaya.

“Tetapi dalam politik yang mana kita lihat ada orang yang ditekan, diseksa, dibunuh, dihalau keluar dari negara mereka, PBB nampaknya tidak ada taring sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama media Malaysia di sini sempena lawatan kerja lima hari beliau seiring Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ditanya berkenaan apakah yang harus dilakukan bagi memastikan kuasa veto dapat disekat, Dr Mahathir berkata apa yang boleh dilakukan ketika ini hanya memujuk mereka sahaja.

“Kalau kita dapat kalahkan mana-mana satu kuasa veto, mungkin pada ketika itu, kita boleh hapuskan kuasa veto negara itu.

“Tetapi pada waktu ini, tidak ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh kita selain daripada memujuk mereka (negara kuasa veto) supaya satu peperangan yang berlaku 70 tahun dahulu tidak harus mempengaruhi keadaan sehingga bila-bila.

“Kita nampak seolah-seolah mereka anggap kuasa veto yang mereka miliki kini adalah kekal selama-lamanya,” tegasnya.

Dalam ucapan di PBB pada Jumaat, Dr Mahathir membidas lima negara kuasa besar dunia yang dianggap sebagai ‘pembunuh’ kepada fungsi sebenar PBB.

Lima negara tersebut melibatkan Perancis, China, Britain, Amerika Syarikat dan Rusia, yang merupakan negara yang mengakui kemenangan pada Perang Dunia Kedua.