Faktor sukar mendapatkan akses ke dalam portal Penilaian Berasaskan Sekolah, (PBS) menjadi salah satu faktor yang menyukarkan golongan guru mengunakan teknologi terbabit.

Selain itu, penilaian yang kompleks dan disukarkan dengan bilangan murid yang ramai menjadikan PBS sebagai beban kepada guru.

Seorang guru yang mahu identitinya dirahsiakan menyatakan PBS secara atas kertas amat baik kerana ia bermatlamat mengubah sistem pendidikan negara yang amat bergantung kepada peperiksaan kepada penilaian yang lebih holistik.

Tetapi masalah yang dibangkitkan ialah soal pelaksanaannya.

"Pelaksanaan yang berlaku di Malaysia sangat lemah," jelas guru sekolah menengah terbabit.

"Guru-guru tidak dapat mengisi markah secara online walaupun sudah dijanjikan awal pelaksanaan yang mereka boleh mengisi markah tersebut 24 jam sehari, sepanjang minggu dan juga ibu bapa pula dijanjikan untuk mempunyai akses kepada data pencapaian anak-anak mereka dengan hanya mengisi nombor kad pengenalan," tambah guru itu lagi.

Apa yang dikatakan guru terbabit ada kebenarannya.

Tinjauan Astro AWANI ke laman web PBS pada petang tadi, membuktikan sistem itu tidak dapat berfungsi walaupun sudah dicuba berkali-kali.

Ketidakpuasan hati kalangan guru-guru mengenai isu PBS sudah kerap disuarakan.

Paling lantang laman Facebook Suara Guru Masyarakat Malaysia, yang sudah merekodkan lebih 17,000 ribu pengikut.

Namun begitu guru yang menentang sistem ini dilaporkan berdepan tindakan kementerian.

Minggu lalu, Presiden badan berkenaan, yang juga seorang guru, Mohd Izzat Mohd Johari mengatakan dia telah menerima arahan bertukar sekolah.

Laporan tersebut bagaimanapun dinafikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menukar guru yang menentang PBS.

Pada Ahad, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof mengumumkan penangguhan PBS buat sementara waktu.

PBS diperkenalkan sebagai langkah pembaharuan sistem pendidikan negara yang sebelum ini terlalu bergantung kepada peperiksaan.