Ahli-ahli Kelab Pegawai Tadbir dan Diplomatik Negeri Sembilan (KPTDNS) yang terdiri daripada pemimpin utama bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disarankan memikirkan keperluan penyediaan laluan basikal yang selamat dan tempat meletak basikal yang bersesuaian.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perkara tersebut merupakan salah satu pelaksanaan Inisiatif Kejiranan Hijau di bawah Inisiatif Local Agenda 21 dalam mencapai matlamat bandar dan bandar raya berkarbon rendah.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Negeri Sembilan Bersama Persatuan Perkhidmatan Tadbir Diplomatik Malaysia (PPTD) Malaysia dan Ahli-Ahli KPTDNS yang bertujuan mengeratkan silaturahim antara kepimpinan tertinggi kerajaan negeri dengan KPTDNS serta pimpinan PPTD Malaysia.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malik dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sosial dan Rekreasi PPTD Malaysia Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Dalam majlis itu juga, Aminuddin turut memberi sumbangan dari kerajaan negeri sebanyak RM15,000 kepada KPTDNS dan RM10,000 kepada PPTD Malaysia.

Aminuddin juga mengalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam dengan kerap melakukan aktiviti bersukan dan beriadah seperti aktiviti berbasikal supaya dapat mengimbangi keperluan harian penjawat awam dengan kerja harian dan riadah.

"Saya percaya apabila keadaan kesihatan yang baik, prestasi kerja akan meningkat dan apabila prestasi kerja ditingkatkan ke tahap optima kesan atau hasilnya akan dirasai oleh rakyat melalui perkhidmatan cemerlang yang diberikan penjawat awam terhadap rakyat itu sendiri," katanya.

-- BERNAMA