Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih prihatin dan memberi penekanan kepada mutu dan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat dengan lebih berkesan,

Beliau berkata tugas PBT sebagai sebuah kerajaan tempatan telah berkembang dan menjadi lebih besar dalam menghadapi cabaran alaf baharu abad ke-21 ini.

"Desakan dan keperluan untuk PBT berubah didorong oleh saiz masyarakat yang kian bertambah menyebabkan berlaku peningkatan dari segi masalah, keperluan dan isu yang perlu diselesaikan," katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Majlis Perbandaran Segamat di Dataran Segamat, di sini pada Ahad.

Majlis Perbandaran Segamat sebelum ini dikenali sebagai Majlis Daerah Segamat.

Beliau berkata selain itu juga peningkatan jumlah masyarakat majmuk kepada saiz yang lebih besar menjadikan keperluan masyarakat semasa jauh berbeza daripada 10 atau 20 tahun dahulu.

Mohamed Khaled berkata pentadbiran beliau mengambil serius mengenai kualiti perkhidmatan yang disampaikan oleh PBT dan mahukan institusi ini menjadi entiti yuang dipacu oleh prestasi.

Turut hadir pada majlis malam ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

--BERNAMA