Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengaktifkan bilik gerakan khas di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) termasuk di Sabah dan Sarawak mulai tengah malam ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata pusat kawalan PDRM di Bukit Aman akan menyelaras bantuan penguatkuasaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Selain itu, bilik gerakan khas itu juga bertindak sebagai pusat sumber maklumat untuk orang ramai mengenai tahap keselamatan negara, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya, bilik gerakan khas polis akan memantau dan mengawal keadaan keselamatan menjelang PRU14 selepas pembubaran Parlimen berkuat kuasa tengah malam ini.

Beliau berkata pegawai dan anggota PDRM juga akan membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan kelancarkan proses PRU14 tanpa sebarang gangguan.

"Kesiapsiagaan PDRM juga termasuklah pada hari penamaan calon, hari pengundian serta selepasnya," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata PDRM telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU14 termasuk tambahan anggota Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) jika diperlukan.

Beliau berkata setakat ini, kira-kira 79,000 anggota ataupun 69 peratus daripada keseluruhan jumlah pegawai serta anggota PDRM pelbagai jabatan dan unit akan terlibat.

Menurutnya, polis juga telah mengenal pasti kira-kira 1,100 individu dan organisasi yang berpotensi melakukan 'serangan mengejut di saat akhir' bertujuan menimbulkan kekecohan pada PRU14 selain mengenal pasti 116 kawasan di Semenanjung dan 33 di Sabah dan Sarawak sebagai lokasi panas PRU14.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa esok untuk memberi laluan kepada PRU14. - BERNAMA