Polis Diraja Malaysia (PDRM) akur akan keputusan kerajaan berhubung peraturan baharu membenarkan cermin gelap bagi bahagian sisi penumpang dan belakang.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata pihaknya menghormati keputusan berkenaan.

"Kami akur dan menghormati apa jua keputusan menteri (Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook) berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita selepas hadir memberikan juadah berbuka puasa kepada pegawai dan anggota trafik yang bertugas mengawal lalulintas di Jalan Tun Perak, di sini

Pada Khamis, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, peraturan baharu membenarkan cermin gelap bagi bahagian sisi penumpang dan belakang kenderaan dikekalkan walaupun dibantah pelbagai pihak termasuk polis

BACA: JPJ, Miros perlu keluar hasil kajian cermin gelap

BACA: Cermin gelap: Misi menyelamat mangsa kemalangan menjadi sukar - Penganalisis

Beliau berkata, pihaknya menghormati pandangan PDRM dalam soal risikan dan keselamatan, namun pindaan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak termasuk polis.

Berkuatkuasa Rabu, penggunaan cermin gelap tanpa had atau gelap sepenuhnya dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan, berbanding peraturan sebelum ini menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak pada 30 peratus.

-- BERNAMA