Kedudukan negara yang baik ketika ini sepertimana dilaporkan Indeks Keamanan Global (GPI) dan Laporan Kegembiraan Dunia 2017 menjadi cabaran bagi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keamanan rakyat sentiasa terpelihara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, PDRM selaku pasukan keselamatan negara turut sentiasa mengambil langkah kesiapsiagaan dalam memastikan keselesaan rakyat dipertahankan termasuk ancaman ‘software jahat’ atau malware pada rangkaian internet di negara ini.

Beliau bercakap bagi menjawab soalan dikemukakan orang awam selepas memberikan syarahan khas "Cabaran dan strategi PDRM untuk dekad akan datang" di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pagi tadi.

Turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara PDRM dengan UTM selaku kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Menerusi data GPI yang dikeluarkan bulan lepas merekodkan kedudukan Malaysia di tangga ke 29 negara teraman dunia daripada 163 negara lain.

Kedudukan berkenaan juga jauh lebih baik berbanding negara kuasa besar dan maju seperti United Kingdom di kedudukan ke 41, Amerika Syarikat (114), China (116) dan Rusia (151).

“Dalam kita membangunkan fasiliti ataupun kemudahan siber, kita perlu juga membangunkan pertahanannya.

“Ada satu agensi yang dipanggil siber sekuriti tetapi jabatan kerajaan masing-masing telah diarahkan oleh kerajaan supaya mengambil langkah-langkah yang tertentu dalam memastikan keselamatan sistem dan data,” kata Tan Sri Khalid.

Malaysia turut berada pada kedudukan terbaik berbanding negara ASEAN lain seperti Laos pada tangga ke 48, Indonesia (52), Vietnam (59), Kemboja (89), Thailand (120) dan Filipina di ranking ke 138.