Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi fokus kepada pegawai atasan termasuk ketua polis negeri yang terlibat dalam salah laku sekali gus mengambil tindakan tatatertib dan ditukarkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kes-kes salah laku termasuk penumpuan turut diberikan melibatkan anggota bawahan.

Menurut beliau, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pegawai dan anggota yang sudah diambil tindakan tatatertib dan dipindahkan.

"Antara fokus yang kita beri keutamaan pada ketika ini termasuk penyelia-penyelia seperti ketua-ketua polis daerah dan ada juga ketua-ketua polis negeri. Mereka akan diambil tindakan (jika terlibat salah laku).

"Saya pun sudah memaklumkan perkara (tatatertib) ini banyak kali tetapi perkara ini masih berlaku dan kita tidak akan berkrompomi," katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman pada Selasa.

Tambah Mohamad Fuzi, pegawai dan anggota yang cenderung terlibat dalam salah laku ini adalah melibatkan mereka yang bertugas di barisan hadapan pasukan tersebut.

Sebagai contoh, katanya, pegawai dan anggota trafik, pegawai yang terlibat dalam menangani isu-isu judi dan maksiat.

“Kita amat dukacita sebenarnya dengan penglibatan pegawai dan anggota dalam aktiviti ataupun kegiatan tidak bermoral ini khususnya melibatkan isu-isu rasuah dan mengikut rekod pada tahun lalu seramai 149 orang warga PDRM ditangkap atas pelbagai kesalahan rasuah dan pada tahun sebelum itu 179 walaupun ada sedikit penurunan tapi persepsi negatif itu masih tinggi dan kita sedang tangani," katanya.

Mohamad Fuzi berkata, seramai 926 pegawai dan anggota PDRM dikenakan tindakan oleh Jabatan Integrasi dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan tindakan pemantauan terhadap pegawai dan anggota dengan membabitkan JIPS dalam setiap operasi serta serbuan dilakukan.