Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti sama ada wujud keperluan menubuhkan satu jawatankuasa bagi memantau siasatan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata polis juga akan meneliti semula kertas siasatan jika terdapat aspek baharu dalam kes itu bagi meneruskan siasatan.

"Kita akan memanggil semula saksi-saksi terdahulu sekiranya mempunyai keperluan dan bukti baharu bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat tahunan ke-40 Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) di sini, hari ini.

Beliau berkata mereka akan dipanggil sekiranya terdapat elemen-elemen baharu berhubung kes berkenaan berdasarkan laporan polis yang dibuat bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev baru-baru ini.

"Pasukan penyiasat yang menjalankan siasatan berhubung kes ini juga akan dipanggil membantu siasatan dan kita berkemungkinan tubuh jawatankuasa untuk memantau penyiasatan yang dilakukan mereka," katanya.

Noor Rashid berkata PDRM akan mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara berhubung siasatan tambahan dan berdasarkan bukti baharu memandangkan sebelum ini mahkamah telah menjatuhkan hukuman.

Pada 2009, bekas anggota Unit Tindakan Khas polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri didapati bersalah membunuh Altantuya.

Shaariibuu membuat laporan polis Jumaat lepas bagi membolehkan kes pembunuhan anaknya pada tahun 2006 dibuka semula.

Ditanya berhubung DSP Musa Safri, bekas pembantu (ADC) bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dikatakan saksi utama kes itu, Noor Rashid berkata pihaknya percaya Musa masih berada di dalam negara.

Dalam perkembangan lain, Noor Rashid berkata PDRM akan menyiasat berhubung rampasan 41 butir bom buatan sendiri dalam sebuah trak pikap di Narathiwat, Thailand, Khamis lepas yang didakwa dihasilkan di Malaysia.

"Kalau betul datang dari sini kita kena siasat dan ambil tindakan wajar bagi memastikan tempat kita tidak menjadi tempat mereka merancang aktiviti-aktiviti keganasan," katanya.

Khamis lepas, polis Thailand menemukan 41 butir bom buatan sendiri bersama-sama alat pengaktifnya di dalam sebuah trak pikap yang ditahan dalam sekatan jalan raya di Kampung Saring, daerah Takbai, Narathiwat dan menahan pemandu trak pikap berusia 39 tahun.

--BERNAMA