Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan pihak berkuasa Pakistan bagi mengenal pasti motif seorang rakyat Malaysia yang cuba menyeludup senjata api dari negara itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata maklumat awal mendapati lelaki berusia 20-an itu cuba menyeludup senjata berkenaan masuk ke negara ini.

Malah, polis masih memerlukan maklumat berkenaan kumpulan yang disertai lelaki berasal dari Sarawak.

BACA: Seludup senjata: Polis sahkan rakyat Malaysia ditahan di Pakistan

“Kita akan berhubung dengan pihak polis Pakistan dan ingin tahu apa kegiatan dia semasa dia berada di Pakistan termasuk kemungkinan dia terlibat dengan kumpulan ekstremis Daish.

“Sudah semestinya pihak Pakistan akan menjalankan siasatan dan kita berhubung dan kongsikan maklumat yang diperolehi dan baru kita dapat tahu apa tujuan sebenar apa pendirian dia, siapa rakan-rakan dia, kita nak tahu juga siapa jaringan rangkaian dia,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman di sini hari ini.

BACA: Rakyat Malaysia cuba bawa keluar senjata api dari Pakistan ditahan

Minggu lalu, pihak berkuasa Pakistan menemui senjata api dan peluru selepas menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan di Lapangan Terbang Jinnah, Karachi, Pakistan.

Suspek ditahan selepas didapati membawa komponen empat senjata api, lapan kelopak peluru termasuk 70 butir peluru hidup.