PDRM masih buru Jho Low - KPN

PDRM masih buru Jho Low - KPN
Pasport Jho Low dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada 15 Jun lepas atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyiasatan mereka terhadap skandal 1MDB. - Gambar fail
PELABUHAN KLANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih lagi memburu ahli perniagaan Low Taek Jhow atau Jho Low berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

"Siasatan terhadapnya berjalan macam biasa," katanya ringkas kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan usaha memburu Jho Low.

Blog Sarawak Report sebelum ini melaporkan sebuah stesen radio di Hong Kong menyiarkan satu laporan berita berhubung penahanan Jho Low di China. Bagaimanapun, laporan itu tidak mendapat pengesahan daripada mana-mana pihak mengenai penahan berkenaan.

BACA: Malaysia mahu jual kapal Equanimity secepat mungkin - Tun Mahathir
INFOGRAFIK: Jejak Jho Low

Pasport Jho Low dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada 15 Jun lepas atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyiasatan mereka terhadap skandal 1MDB.


Terdahulu, Mohamad Fuzi mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melawat kapal layar mewah penuh kontroversi, Equanimity, yang berlabuh di Terminal Boustead Cruise Centre di sini.

Kapal layar mewah itu, dipercayai mempunyai hubung kait dengan Jho Low dan skandal 1MDB, tiba di Malaysia pada 7 Ogos selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Sementara itu, ditanya mengenai kes 17 pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) disyaki terlibat dalam penyelewengan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berjumlah RM3.5 juta, Fuzi menjawab ia dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM).


Beliau berkata pihaknya tidak terlibat dalam menjalankan siasatan kes berkenaan.

"Individu yang terlibat juga bukan anggota polis kita, itu anggota polis tambahan," katanya.

Pada Rabu, seramai 17 pengawal keselamatan JPM direman lima hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Pilihan PRU14 berjumlah RM3.5 juta.

Antara yang direman adalah seorang pegawai keselamatan gred 52 dan selebihnya pengawal keselamatan gred 11 hingga 38.

-- BERNAMA