Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengadakan pertemuan setiap tiga ke empat bulan sekali bagi menangani isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pertemuan pertama yang diadakan hari ini bersama 12 NGO, telah membincangkan isu berkaitan pemerdagangan orang selain mengetengahkan idea dan solusi.

"Antara NGO yang terlibat seperti Majlis Peguam Malaysia dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) hadir bagi memberi pandangan dan maklumat serta penambahbaikan yang boleh dipraktikkan oleh PDRM.

"Sesi pertemuan ini turut membincangkan siapa yang bertanggungjawab tentang isu ini, selain memberitahu pihak NGO kepada siapa yang patut mereka hubungi jika terdapat sebarang maklumat atau isu berkaitan," katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan NGO di Bukit Aman, hari ini.

Katanya antara lain, pertemuan yang diadakan ini juga akan mengeratkan hubungan PDRM dengan NGO, selain perlu diadakan pada setiap peringkat negeri.

Noor Rashid berkata PDRM telah menyelesaikan 410 kes pemerdagangan orang dan penyeludupan migran tahun lepas serta kira-kira 60 kes bagi tahun ini setakat Februari lalu.

-- BERNAMA